Kisah Menarik Perbezaan Sang Alim & Sang Abid Tanpa Ilmu
Satu kisah menarik yang ingin saya kongsikan bersama
para pembaca sekalian. Kisah ini saya nukilkan daripada apa yang disampaikan
oleh Syaikhuna al-Allamah al-Hafidz Muhammad bin Ibrahim bin Abdul Ba’ith
al-Kittani al-Syafie hafizahullah ketika beliau menyampaikan ceramah di Dewan
Besar Yayasan Khairiah , Kupang Baling Kedah. Kebetulan pada waktu itu, saya
disuruh oleh Syaikhuna Muhammad Ibrahim hafizahullah untuk menterjemahkan
ucapan beliau di dalam Bahasa Melayu agar mudah difahami oleh para pendengar.
Syaikhuna memilih untuk membicarakan tentang kelebihan
ilmu dan amal bagi penuntut ilmu. Maka beliau menceritakan sebuah cerita yang
menarik perhatian semua pendengar pada petang tersebut.
Pada suatu masa dahulu, terdapat seorang raja yang
sangat bijak. Raja tersebut ingin mengajarkan kepada rakyat jelata suatu
perkara yang sangat penting. Mungkin pada waktu itu masyarakat tidak dapat
membezakan mana satu golongan alim dan mana satu golongan abid ( yang hanya
beribadah tanpa ilmu) .
Maka raja memanggil seorang alim dan seorang abid yang
tiada ilmu bagi membuktikan bahawa antara kedua-dua golongan ini pasti terdapat
perbezaan yang jelas.
Raja menyuruh kedua-dua orang ini masuk ke dalam bilik
yang berbeza. Setiap bilik diletakkan perkara yang sama iaitu diletakkan
sebilah pisau, sebotol arak dan seorang wanita. Sang Raja juga mengarahkan
kepada kedua-dua orang tersebut untuk melaksanakan salah satu daripada tiga
perkara iaitu sama ada meminum arak, atau berzina dengan wanita tersebut atau
mengambil pisau yang disediakan lalu membunuh wanita tersebut bagi mengelakkan
daripada melakukan dosa zina.
Bilamana dimasukkan si alim dan si abid di dalam bilik
masing-masing yang sudah tersedia di dalamnya ketiga-tiga perkara tersebut.
Maka kedua-duanya sebaik sahaja berhadapan dengan ketiga-tiga perkara yang
diarahkan oleh Sang Raja melaksanakan salah satu daripadanya, masing-masing
punya pemikiran dan cara penyelesaian yang berbeza.
Bagaimana Sang Alim dan Sang Abid ini menyelesaikannya?
Saya akan ceritakan satu persatu mengikut turutan. Kita lihat dahulu apa yang difikirkan
oleh Sang Abid dan bagaimana dia menyelesaikan masalah tersebut.
SANG ABID DAN PENYELESAIANNYA
Sebaik sahaja masuk di dalam bilik tersebut, Sang abid
melihat ketiga-tiga perkara telah berada di hadapannya. Sebilah pisau, sebotol
arak dan seorang wanita cantik. Maka terlintas di dalam fikiran sang abid
bahawa ketiga-tiga ini adalah dosa . Mengambil pisau dan menggunakan pisau
tersebut untuk membunuh wanita cantik tersebut bagi mengelakkan zina adalah
merupakan dosa yang besar. Berzina dengan wanita tersebut juga merupakan dosa
yang besar. Perkara yang paling ringan sedikit berbanding membunuh dan berzina
adalah minum arak. Maka , sang abid yang yakin dengan jalan penyelesaiannya
terus mengambil botol arak dan meneguk isinya .
Apa yang berlaku seterusnya? Sebaik sang abid tersebut
selesai minum arak, dia terus mabuk dan di dalam keadaan tersebut , dia
menghampiri wanita cantik itu lalu mengajaknya bersetubuh dan akhirnya mereka
berzina . Sebaik selesai berzina, sang abid sedar akan kesalahan yang dilakukannya
. Bagi mengelakkan si wanita membongkarkan rahsianya, maka dia terus mengambil
pisau dan membunuh wanita tersebut.
Maka , secara tidak sedar , Sang Abid telah melakukan
ketiga-tiga perkara dosa tersebut secara sekaligus.
Bagaimana pula keadaan Sang Alim di bilik yang lain?
Bagaimanakah dia menyelesaikannya?
Kita akan melihat pula bagaimanakah cara penyelesaian
dan pemikiran Sang Alim tersebut.
SANG ALIM DAN PENYELESAIANNYA
Sebaik sahaja sang alim tersebut masuk ke dalam bilik
itu, beliau tersentak dengan kewujudan ketiga-tiga perkara tersebut. Sang Raja
telah mengarahkan agar melaksanakan salah satu daripada tiga perkara itu.
Sang Alim berfikir, “ Jika aku mengambil pisau dan
membunuh wanita itu maka aku telah melakukan dosa membunuh. Membunuh adalah
dosa yang besar di sisi Allah taala. Jika aku berzina dengan wanita tersebut
juga ianya merupakan dosa yang besar di sisi Allah taala. Jika aku mengambil
arak dan meminumnya maka itu juga merupakan dosa yang besar. Jadi bagaimanakah
cara yang terbaik untuk aku laksanakan?”
Sang Alim terfikir lagi , “ Jika aku meminum arak,
akalku akan hilang dan kemungkinan aku akan laksanakan perkara yang aku tidak
fikirkan. Maka jalan yang terbaik pada waktu sekarang adalah dengan aku
mengambil pandangan di dalam Mazhab al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu yang
membenarkan seorang wanita tersebut mengahwinkan dirinya sendiri tanpa
kewujudan dan persetujuan walinya”
Maka sang alim terus pergi kepada wanita tersebut dan
mengatakan kepadanya : “ Wahai wanita, sudikah kamu berkahwin denganku?
Wanita tersebut bersetuju dengan cadangan yang
diberikan oleh Sang Alim tersebut. Maka sang alim tersebut melafazkan lafaz
nikah dan sang wanita bersetuju dan menerimanya. Maka secara hukumnya mereka
telah berkahwin mengikut pendapat di dalam Mazhab al-Imam Abu Hanifah
rahimahullah.
Secara tidak langsung, sang alim telah menjauhkan
dirinya daripada kesemua dosa tersebut. Beliau tidak membunuh, tidak minum arak
dan berzina. Malah beliau mendapatkan perkara yang lebih besar daripada itu iaitu
dengan berkahwin dengan wanita cantik tersebut.
Selesai perkara tersebut, Sang Raja tersenyum kerana
akhirnya beliau dapat membuktikan tetap ilmu itu lebih mulia daripada
segalanya. Tanpa ilmu seseorang itu akan tersilap melakukan penilaian yang
terbaik.
Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Di Masjid al-Azhar al-Syariff &
Masjid al-Asyraff,
Wangsa Maju, Selangor Darul Ehsan,
Malaysia