Sirah Rasulullah perlu dihidupkan bukan setakat kajian
Oleh Hasliza Hassan
Ummah perlu hayati perjalanan hidup Nabi Muhammad untuk
mengenali Islam sebenar
MUSLIM masa lampau apabila membaca sirah Rasulullah
akan terus terkesan dan berubah dari segi amalan serta kehidupan mengikut
panduan ditunjukkan Baginda. Ini kerana perasaan cinta yang lahir terhadap
junjungan besar itu.
Tetapi, Muslim sekarang tidak begitu walaupun menulis
atau membuat kajian mengenai keperibadian, sejarah dan kehidupan Rasulullah
SAW. Ini disebabkan sirah bagi mereka seperti mengkaji mengenai pemimpin
terkenal.
Sebab itu, sesiapa saja boleh menulis atau menerbitkan
buku sirah Rasulullah tetapi tidak ramai yang berubah kerana maklumat serta
pengetahuan yang diperoleh tidak meresap dalam jiwa. Ia hanya sebagai bahan
ilmiah.
Pensyarah di Universiti Damsyik, Syria, Sheikh Profesor
Dr Mohammad Said Ramadan Al-Bouti, berkata sirah perlu difahami supaya Muslim
mendapat gambaran sebenar mengenai Islam dari segi akidah dan aplikasi syariah
yang tercermin dalam kehidupan Nabi Muhammad.
Justeru katanya, bidang itu perlu diberi nama baru
iaitu fiqh sirah nabawiyah supaya usaha memahami keperibadian Rasulullah
melalui perjalanan kehidupan serta keadaan dihadapi Baginda mampu memberi kesan
dan membawa perubahan kepada umat Islam.
Kajian mengenai sirah bukan sekadar tujuan ilmiah saja.
Untuk itu, perlu ada pendekatan baru supaya Islam benar-benar dihayati.
Bagaimana untuk mempraktikkan apa yang difahami serta dihayati daripada sirah
dalam hidup juga berbeza dengan membuat kajian mengenai sirah.
Setakat menulis satu buku mengenai sirah, siapa pun
boleh tetapi itu bukan jaminan ia akan membawa perubahan, katanya pada syarahan
umum bertajuk Aplikasi Fiqh Sirah Dalam Realiti Semasa kepada 160 hadirin yang
memenuhi Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di ibu negara,
Selasa lalu.
Beliau berkata, aplikasi fiqh sirah boleh berlaku jika
semua memahami, menghayati kandungannya seterusnya memainkan peranan masing-masing
berpandukan kepada contoh terbaik ditunjukkan Rasulullah dalam seluruh
kehidupan secara jelas dan sempurna.
Dr Mohammad Said berkata, apabila peristiwa yang
digambarkan sepanjang perjalanan hidup Rasulullah difahami, diselami dan
dihayati, umat Islam akan dapat merasakan seolah-olah Baginda ada bersama
mereka walaupun hakikatnya adalah sebaliknya.
Beliau berkata, pengalaman itu pernah dirasai pelajar
beliau yang mengikuti pengajian sirah apabila mereka menangis dalam kelas
kerana menghayati peristiwa ditempuhi Rasulullah seolah-olah mereka turut
melalui keadaan itu.
Katanya, mempelajari atau mengkaji fiqh sirah perlu
dilakukan secara berkumpulan supaya teori dan amalannya dapat dihayati
sementara hasil perbincangan serta analisis yang dibuat tersebar luas untuk
dimanfaatkan.
Fiqh sirah tidak boleh dikaji secara bersendirian
kerana akan menghasilkan kefahaman yang terhad berbanding apabila dibaca dan
dibincang secara ramai-ramai atau berkumpulan. Saya berdoa kepada Allah supaya
diberi hidayah dan dimudahkan mereka yang ingin mengkaji fiqh sirah, katanya.
Katanya, mempelajari sirah Rasulullah membantu umat
Islam memahami kitab Allah kerana ayat al-Quran ditafsir dan dijelaskan
maksudnya melalui peristiwa pernah dihadapi Rasulullah.
Sirah cukup relevan hingga hari ini kerana seluruh
kehidupan Baginda mencakupi semua aspek yang memberi kehidupan mulia kepada
semua golongan yang mengatur segala urusan dengan adil dan bijaksana.
Sama ada sebagai pemimpin adil, suami dan ayah
penyayang, panglima perang yang mahir, negarawan dan sebagai Muslim, semuanya
dapat melakukan keseimbangan antara kewajipan beribadat kepada Allah serta
bergaul dalam keluarga dan masyarakat dengan baik.
Dengan mempelajari sirah, seseorang Muslim dapat
mengumpul banyak pengetahuan dan ilmu Islam yang benar dalam perkara akidah,
hukum dan akhlak kerana kehidupan Rasulullah adalah gambaran kukuh daripada
sejumlah prinsip serta hukum.
Menjawab soalan peserta bagaimana fiqh sirah boleh
membawa perubahan dalam keadaan realiti semasa, Dr Mohammad Said menjelaskan
beliau tidak suka menggunakan kalimah perubahan malah tidak pernah
menggunakannya dalam ceramah atau penulisan.
Katanya, perubahan mungkin akan membawa kepada
perubahan hukum Islam kepada undang-undang lain sedangkan prinsip Islam tetap dan
tidak akan berubah. Malah, menjadi tanggungjawab semua umat Islam untuk menjaga
prinsip itu daripada diubah.
Memang ada hadis Allah akan membangkitkan pada awal
setiap seratus tahun seorang mujaddid. Ramai faham mujadid itu perubahan tetapi
jangan disebabkan ingin membuat perubahan, menyebabkan mereka merubah atau
menukar agama, katanya.
Beliau turut menolak pandangan peserta bahawa wujudnya
kekangan politik dan undang-undang yang menghalang aplikasi fiqh sirah dalam
kehidupan terutama kepada mereka yang membaca sirah, mencintai Rasulullah dan
mengikut contoh teladan ditunjukkan Baginda.
Daripada mana datangnya kekangan dan siapa yang
sebabkan kekangan? Mereka ini juga ada hati dan iman, oleh itu, kita pikat hati
dan iman mereka dengan mengajak membuat kajian bagi mendekatkan diri kepada
Rasulullah seterusnya menghayati serta melaksanakan fiqh sirah.
Cabaran dari luar mungkin ada tetapi jika dalaman kita
tidak dapat menghayati diri Rasulullah dan tidak melaksanakannya, tidak perlu
tengok kekangan luar. Yang penting ialah penghayatan dalam diri untuk terus
melaksanakan fiqh sirah, katanya.